arena

Sei Young ungguli Kejuaraan LPGA

Oleh Reuters

KIM Sei Young membenam birdie dari jarak 25 kaki pada lubang terakhir untuk memenangi Kejuaraan Jelajah LPGA dan hadiah terbesar dalam sukan golf wanita, AS$1.5 juta (RM6.25 juta) di Florida, AS awal pagi tadi.

Selepas mendahului setiap pusingan, Sei Young hampir mensia-siakan peluang itu sebelum melakukan magis pada lubang ke-18 par-empat, yang mana tolakan putt menuruni bukit menuju ke arah kanan sebelum bergolek masuk.

Pemain Korea Selatan itu merakam dua bawah par 70 untuk menang dengan satu pukulan mengatasi pemain England, Charley Hull, yang hampir merampas kejuaraan dengan lima birdie dalam tujuh lubang terakhir bagi catatan 66 di Tiburon Golf Club di Naples.

Sei Young mengakui perasaan gemuruh menjejaskan pukulan putt dilakukannya ketika dia melakukan beberapa pukulan teruk ketika cuba mengelak memikirkan mengenai hadiah juara yang memecah rekod.

Dia tidak melihat ke arah papan carta pendahulu dan berkata, dia tidak tahu tolakan putt pada lubang terakhir boleh memastikan kemenangan dan kejuaraan Race to the Globe.

“Saya berfikir, cuba melakukan dua putt, itu yang terlintas dalam fikiran saya,” kata Sei Young selepas menamatkan aksi 18 bawah par 270 bagi kejuaraan Jelajah LPGA ke-10 kariernya pada usia 26 tahun.

“Saya mahu fokus terhadap permainan sendiri. Saya tidak mahu memikirkan mengenai pemain lain. Jika saya lihat papan carta pendahulu, kadang kala ia membantu kadang-kadang tidak membantu emosi saya.

“Saya tidak tahu saya terikat sebagai pendahulu dengan Charley. Selepas saya melakukan putt dan lihat ke arah papan carta pendahulu saya terkejut menyaksikan Charley 17 bawah par.”

Sei Young muncul pemain keempat Korea Selatan mencecah dua angka kejuaraan LPGA, menyertai Pak Se Ri (25), Park In Bee (19) dan Shin Ji Yai (11).

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 11:31am
d