arena

Tak siap lagi! [METROTV]

Oleh BERNAMA

PIHAK penganjur Sukan SEA 2019, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) sedang mengejar masa untuk melengkapkan segala persediaan menjelang edisi ke-30 temasya dwitahunan itu.

Selepas beberapa pertandingan seperti bola sepak, floorball dan polo bermula beberapa hari lalu sebelum upacara perasmian pada Sabtu ini, banyak kerja-kerja pembinaan masih berjalan.

Tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja pembinaan masih dijalankan terutama di venue perlawanan bola sepak lelaki membabitkan Malaysia dan Myanmar di Stadium Memorial Rizal di Manila, di mana pekerja sedang membuka perancah di hadapan stadium.

Lebih mengejutkan, bangunan pusat media yang menempatkan bilik sidang media pula, masih dalam pembinaan.

Perancah masih belum dibuka, dinding belum ditampal dengan simen, manakala simen lantai pula tidak rata dan kemas, ditambah dengan gigitan nyamuk.

Sejak beberapa hari lalu media tempatan dan antarabangsa melaporkan masalah yang dihadapi oleh beberapa pasukan, termasuk pasukan bola sepak wanita Filipina yang menghadapi masalah logistik.

Turut menghadapi masalah logistik dan penempatan ialah pasukan bola sepak lelaki Timor Leste, Kemboja dan Thailand.

Media melaporkan bahawa Thailand menghadapi masalah kerana tiga orang ditempatkan dalam bilik hotel yang hanya muat dua orang, selain terpaksa membatalkan latihan di Stadium Bola Sepak Binan kerana kesesakan trafik.

Pasukan Kemboja pula berkongsi gambar bahawa mereka terpaksa tidur di atas lantai di bilik persidangan hotel kerana ketiadaan bilik, lapor portal tempatan, Inquirer.Net.

PHISGOC menerusi kenyataan semalam, meminta maaf terhadap masalah yang dihadapi dan berjanji untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Ini adalah kali keempat Filipina menganjurkan Sukan SEA selepas menganjurkan temasya itu pada 1981, 1991 dan paling terbaru pada 2005.

Lebih 8,000 atlet dari 10 negara ASEAN dan Timor Leste dijangka menyertai 56 jenis sukan pada temasya itu bermula 30 November hingga 11 Disember ini.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 10:22pm
    d