arena

Hourihane bantu Villa atasi Newcastle

Oleh Reuters

CONOR Hourihane menjaringkan satu gol dan membantu mencipta satu lagi jaringan bagi membolehkan pasukan tuan rumah, Aston Villa menewaskan Newcastle United 2-0 awal pagi tadi sekali gus melonjak di atas zon penyingkiran.

Pemain tengah Ireland, Hourihane meletakkan Villa di depan pada minit ke-32 menerusi rembatan kencang selepas mendapat hantaran pendek Jack Grealish dan dia sekali lagi menjalankan tugas menerusi sepakan percuma menuju tepat kepada Anwar El Ghazi yang pantas ditolak dari jarak dekat pada minit ke-36 untuk gol kedua tuan rumah.

El Ghazi sekali lagi menembusi gawang lawan tetapi dibatalkan akibat ofsaid manakala peluang terbaik Newcastle pada minit ke-45 apabila tandukan jarak dekat Federico Fernandez diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Tom Heaton.

Newcastle bangkit dengan meningkatkan asakan pada babak kedua namun pertahanan Villa kental bertahan sekali gus mencacatkan kepulangan semula jurulatih, Steve Bruce ke Villa Park yang dipecat Birmingham 13 bulan lalu.

"Sangat penting mendapat keputusan yang bagus kerana prestasi kami agak hambar sejak beberapa perlawanan lalu. Skuad ini tidak banyak memiliki pengalaman Liga Perdana, jadi kemenangan ini amat berharga bagi kami,” kata Hourihane kepada wartawan.

Kemenangan itu menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut Villa dan melonjakkan mereka ke tangga ke-15 dengan 14 mata daripada 13 perlawanan, empat mata di atas zon penyingkiran. Newcastle di tangga ke-14 dengan 15 mata.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 7:16am
d