arena

Lewandowski ledak empat gol 15 minit

Oleh AFP

ROBERT Lewandowski mencipta sejarah Liga Juara-Juara selepas menjaringkan empat gol dalam tempoh 15 minit ketika Bayern Munich membelasah Red Star Belgrade 6-0 di tempat lawan, awal pagi tadi.

Empat jaringan itu yang terpantas dalam sejarah kejohanan dan menjadikan Lewandowski penjaring terbanyak dengan 10 gol daripada lima perlawanan musim ini.

Malahan dia turut menjaringkan satu lagi gol pada babak pertama namun dibatalkan VAR selepas bola terkena tangan rakan sepasukan terlebih dahulu.

"Paling penting kami bermain dengan sangat baik, bertahan dan menyerang,” kata Lewandowski kepada Sky.

"Tak kira siapa bermain, kami mengikut pelan sama. Saya juga gembira seperti ketika saya tak menjaringkan gol dan kami menang,” katanya yang gagal menembusi gawang lawan buat pertama kali dalam 12 perlawanan liga musim ini ketika Bayern menewaskan Fortuna Duesseldorf 4-0 pada Sabtu lalu.

Leon Goretzka dan Corentin Tolisso juga mencetak jaringan di Belgrade tetapi malam itu jelas milik Lewandowski.

Ketangkasannya di Belgrade mengimbau lima jaringan dilakukan dalam masa sembilan minit ketika Bayern menang 5-1 ke atas Wolfsburg dalam aksi Bundesliga pada September 2015.

Penyerang Poland itu kini menjaringkan 27 gol dalam 20 perlawanan untuk Bayern musim ini.

Selepas membelasah Tottenham 7-2 di London pada Oktober lalu menerusi empat jaringan Serge Gnabry, ia satu lagi malam hebat buat Bayern yang kini menang lima perlawanan berturut-turut di Eropah dan telah pun layak ke saingan 16 terakhir.

Mereka juga makin hampir muncul kelab Jerman pertama menang semua enam aksi peringkat kumpulan sebelum menerima kunjungan Spurs di Allianz Arena dua minggu lagi.

Jurulatih sementara, Hansi Flick kini menang semua empat perlawanan dengan 16 jaringan tanpa bolos sejak Niko Kovac dipecat awal bulan ini dan kekal bertugas sekurang-kurangnya sehingga rehat musim sejuk yang dijangka pada 22 Disember.

Dia merehatkan Joshua Kimmich dan Gnabry tetapi Goretzka memberikan Bayern permulaan impian dengan menanduk masuk hantaran Philippe Coutinho pada minit ke-15 dan Lewandowski tidak bernasib baik selepas jaringan menerusi rembatan kencangnya dibatalkan selepas bola terlebih dahulu terkena tangan Tolisso.

Dia bagaimanapun menebus kehampaan pada minit ke-53 hasil sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan tengah, Milos Degenek.

Lewandowski menjadikan kedudukan 3-0 tujuh minit kemudian selepas menyambar tandukan Tolisso dan menolak bola masuk dari jarak dekat.

Lewandowski melengkapkan hatrik dalam masa 11 minit dengan menanduk masuk hantaran Benjamin Pavard dan jaringan keempatnya terhasil menerusi pertukaran hantaran dengan Ivan Perisic yang disudahkan dengan rembatan pada minit ke-68.

Tolisso melengkapkan malam gemilang Bayern pada minit ke-89 selepas mendapat hantaran Perisic.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 7:06am
d