arena

Tottenham bangkit atasi Olympiakos

Oleh Reuters

AKSI pertama Jose Mourinho sebagai pengurus Tottenham Hotspur di tempat sendiri berdepan detik cemas sebelum berakhir ceria selepas dua jaringan Harry Kane membantu pasukannya bangkit menewaskan Olympiakos Piraeus 4-2 dan mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Kehadiran tak dijangka bekas pengurus Chelsea itu selepas Mauricio Pochettino dipecat menimbulkan keraguan dalam kalangan penyokong Spurs.

Bagaimanapun, kemenangan 3-2 ke atas West Ham dalam aksi Liga Perdana menamatkan kesangsian mereka tetapi dua jaringan Youssef El Arabi dan Ruben Sabedo meletakkan Olympiakos, pasukan tercorot Kumpulan B mendahului 2-0 menyebabkan penyokong Spurs stadium sepi seketika.

Mourinho pantas memasukkan Christian Eriksen menggantikan Eric Dier pada minit ke-29 dan percaturan mula menjadi dengan jaringan pertama Dele Alli sejurus sebelum tamat babak pertama menjadi titik kebangkitan Spurs.

Tottenham tampak berbeza pada babak kedua dengan Kane menjaringkan dua gol untuk jaringan ke-20nya dalam 24 perlawanan Liga Juara-Juara mengatasi pencapaian Alessandro Del Piero yang memerlukan 26 perlawanan untuk melakukannya.

Serge Aurier turut mencetak jaringan menerusi rembatan kencang pada minit ke-73 dengan kemenangan itu memastikan Tottenham menduduki tangga kedua di belakang Bayern Munich yang akan ditemui dua minggu lagi.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 8:12am
d