arena

Rembatan Dybala julang Juventus

Oleh AFP

SEPAKAN percuma menarik Paulo Dybala memastikan Juventus menduduki tangga teratas Kumpulan D selepas menewaskan Atletico Madrid 1-0 di Turin dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Juara Itali telah mengesahkan tempat ke peringkat 16 terakhir dengan baki dua perlawanan memastikan takhta kumpulan menjadi milik mereka hasil kemenangan menarik tu.

Dybala meledak jaringan sejurus sebelum tamat babak pertama. Rembatan kaki kirinya menerjah jaring dari sudut sukar dengan penjaga gol, Jan Oblak tiada peluang menyelamatkan gawangnya.

Skuad Diego Simeone, Atletico perlu menang aksi terakhir menentang Lokomotiv Moscow di Madrid untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati.

"Saya fikir Dybala menjaringkan gol yang kami tak galakkan,” kata jurulatih, Maricio Sarri.

"Perkara pertama diperkatakan jurulatih apabila melihat pemain cuba menjaringkan gol dari posisi itu ialah hei! mengapa anda merembat dari situ.

"Dia melakukan sesuatu yang luar biasa. Ia kemahiran luar bisa.”

Cristiano Ronaldo kembali beraksi dan beraksi penuh selepas tersisih ketika menentang Atalanta minggu dan digantikan dalam dua perlawanan sebelum ini akibat kecederaan lutut.

"Saya belum lagi bercakap dengannya mengenai kecederaan lutut tetapi dia tampak dalam keadaan terbaik,” kata Sarri.

Juventus memiliki 13 mata daripada lima perlawanan dengan Atletico di tangga kedua dengan tujuh mata, mengatasi satu mata ke atas Bayer Leverkusen yang menewaskan Lokomotiv 2-0.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 10:09am
d