arena

Leverkusen gah di Moscow

Oleh Reuters

BAYER Leverkusen mengejutkan Lokomotiv Moscow 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi sekali gus membuka peluang untuk mara ke peringkat kalah mati dalam Kumpulan D.

Jaringan sendiri Rifat Zhemaletdinov dan voli Sven Bender memberikan Leverkusen tiga mata berharga bagi mengisi dua tempat teratas selepas pasukan di tangga kedua, Atletico Madrid tewas 0-1 kepada pendahulu kumpulan, Juventus.

Kelab Jerman itu yang akan menentang Juve pada aksi terakhir 11 Disember depan berada di tangga ketiga dengan enam mata. Juventus gah di puncak dengan 13 mata dan Atletico tujuh mata. Lokomotiv dengan hanya tiga mata daripada lima perlawanan tersingkir daripada saingan seterusnya.

Malahan jika Leverkusen gagal ke pusingan 16, mereka tetap beraksi di peringkat Eropah tahun depan selepas menduduki tangga ketiga hasil kemenangan ke atas Lokomotiv.

Skuad tuan rumah bermula garang dalam perlawanan di Moscow tetapi tidak bernasib baik apabila bola terkena kaki Zhemaletdinov dan masuk ke gawang sendiri pada minit ke-11.

Kelab Russia itu memiliki peluang terbaik menyamakan kedudukan menerusi percubaan jarak dekat Anton Miranchuk namun ditepis penjaga gol Leverkusen, Lukas Hradecky.

Bender menggandakan jaringan pada minit ke-53 menerusi voli kencang selepas mendapat hantaran Charles Aranguiz.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 11:03am
d