arena

Hazard sempat aksi Clasico

Oleh Reuters

PENYERANG Real Madrid Eden Hazard dijangka cergas untuk aksi ‘Clasico’ menentang pendahulu La Liga Barcelona selepas ujian mendapati buku lalinya hanya luka dan bukan terseliuh seperti spekulasi awal.

Hazard adalah antara pemain terbaik Real ketika aksi Liga Juara-Juara di mana mereka seri 2-2 dengan Paris St Germain di laman sendiri namun berjalan terhincut-hincut selepas dijatuhkan rakan sepasukan Belgium Thomas Meunier.

Pemain berusia 28 tahun itu digantikan pada pertengahan separuh masa kedua dan pengendali Real Zinedine Zidane mengakui bimbang terhadap kecederaan dan menyangka Hazard terseliuh buku lalinya, mencetus kemungkinan pemain itu tidak diturunkan untuk aksi Clasico 18 Disember.

Kebimbangan Real terubat dengan laporan perubatan yang dikeluarkan kelab itu hari ini, yang mengatakan Hazard mengalami cedera pada buku lali kanan meskipun tidak menyatakan berapa lama dia akan direhatkan.

Akhbar Marca berkata pemain bernilai 100 juta euro (RM459.4 juta) dijangka terlepas kunjungan ke Alaves pada Sabtu tetapi akan menyertai perlawanan Real selepas itu menentang Espanyol pada 8 Disember.

Real menduduki tangga kedua La Liga, berkongsi mata dengan Barca dengan 28 mata selepas 13 perlawanan dan mengunjungi lawan mereka di Camp Nou bulan depan selepas perlawanan berkenaan dijadualkan semula daripada 26 Oktober susulan kebimbangan tahap keselamatan akibat ketegangan politik di Barcelona.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 9:47pm
d