arena

Messi memukau, Barca mara

Oleh Reuters

LIONEL Messi meledak gol pada perlawanan ke-700 bersama Barcelona dan turut mencipta gol buat Luis Suarez serta Antoine Griezmann ketika kelab Catalan itu menewaskan Borussia Dortmund 3-1 awal pagi tadi untuk menempah tiket ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara sebagai juara Kumpulan F.

Messi mengumpan kepada Suarez untuk meletakkan Barca di depan pada minit ke-29 di Nou Camp sebelum dia melakar satu lagi rekod Liga Juara-Juara dengan jaringan empat minit kemudian.

Jaringan kaki kiri Messi bermakna dia menjaringkan gol menentang 34 pasukan berbeza dalam Liga Juara-Juara, mengatasi rekod yang dikongsinya bersama Cristiano Ronaldo dan Raul.

“Messi bergerak dengan bebas dan apabila dia menerima bola, dia hampir tidak boleh disekat,” kata jurulatih Dortmund, Lucien Favre, pasukannya meraih gol sagu hati lewat menerusi pemain gantian Jadon Sancho.

Pemain gantian Griezmann menyudahkan hantaran yang memukau benteng pertahanan daripada Messi untuk mengukuhkan kedudukan Barca pada minit ke-67, gol yang amat diperlukan penyerang Perancis itu selepas gagal meledak dalam enam aksi terakhir bersama kelab itu.

Anak buah Ernesto Valverde mendahului dengan 11 mata selepas lima perlawanan, Inter Milan di tangga kedua dengan tujuh mata manakala Dortmund ketiga juga tujuh mata dan Slavia di tangga tercorot dengan dua mata.

“Kami bersaing dalam kumpulan paling sukar pada pertandingan ini dan sekali lagi kami layak ke peringkat kalah mati dengan berbaki satu perlawanan,” kata Valverde.

“Objektif pertama kami adalah layak sebagai juara kumpulan tapi kami juga mahu menunjukkan peningkatan sebenar permainan kami,” jelas Suarez.

“Kami agak rileks pada babak kedua dan mengekalkan pendahuluan tapi kami patut berasa amat gembira dengan keputusan ini.”

Disiarkan pada: November 28, 2019 @ 7:35am
d