arena

Martinez, Lukaku hidupkan peluang Inter

Oleh Reuters

LAUTARO Martinez menjaringkan dua gol dan Romelu Lukaku meledak gol karier ke-250 ketika membantu Inter Milan menang 3-1 ke atas Slavia Prague di laman lawan awal pagi tadi dan kekal bersaing untuk ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Martinez meletakkan Inter di depan pada minit ke-19, aksi keempat Liga Juara-Juara berturut-turut pemain kebangsaan Argentina itu meledak, selepas bergandingan dengan Lukaku yang menewaskan dua pertahanan Slavia di bahagian kanan kotak penalti.

Slavia dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-37 apabila Stefan de Vrij menjatuhkan Peter Olayinka dan kapten Tomas Soucek mudah menyempurnakan tugas itu.

Inter, yang dua kali dikecewakan palang gol pada babak kedua, akhirnya memecah kebuntuan pada 10 minit terakhir apabila Lukaku mudah menyepak masuk ke pintu gol yang ternganga. Gol bersejarah pemain Belgium itu adalah yang pertama buatnya dalam Liga Juara-Juara bersama Inter.

Martinez kemudian melengkapkan kemenangan buat kelab Itali itu pada minit ke-89, merembat voli kencang selepas satu lagi kerja keras Lukaku.

“Kami banyak meningkat berbanding perlawanan pertama menentang Slavia. Dua penyerang terutamanya bermain satu perlawanan hebat malam ini,” kata pengurus Inter, Antonio Conte kepada wartawan.

“Kami hanya ada satu keputusan untuk menghidupkan peluang dan kami melakukannya. Kami sedar perlu berdepan pasukan hebat seperti Barcelona (pada aksi terakhir kumpulan di San Siro) tapi kami ada 80,000 penyokong untuk melonjakkan kami di sana.”

Barcelona mendahului Kumpulan F dengan 11 mata selepas menundukkan Borussia Dortmund 3-1 dan layak ke pusingan 16 terakhir. Inter dan Dortmund terikat dengan tujuh mata manakala Slavia tercorot dengan dua mata.

Disiarkan pada: November 28, 2019 @ 10:16am
d