arena

Klopp bimbang Fabinho cedera

Oleh Reuters

PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp berdebar menanti keputusan mengenai kecederaan dialami pemain tonggak tengah Fabinho ketika seri 1-1 dengan Napoli pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Pemain tengah Brazil itu terhincut-hincut pada minit ke-19 kerana kecederaan buku lali sebelum digantikan oleh pemain Belanda, Georgino Wijnaldum.

“Perkara paling besar adalah kecederaan Fabinho, ia besar,” kata Klopp.

“Masih awal dan kami harap ia tidak terlalu serius tapi jelas ia terlalu sakit dan di kawasan yang mana anda tidak mahu berasa sakit, di sekitar buku lali,” kata warga Jerman itu.

Ditanya wartawan tahap kecederaan itu, Klopp berkata: “Saya tidak mahu menyatakan apa yang saya harapkan kerana saya harap ia tidak serius. Dia berasa sakit, yang mana tidak bagus. Dia tidak boleh meneruskan perlawanan. Saya harap ia tidaklah terlalu serius. Kami mungkin tahu esok atau lusa.”

Liverpool berdepan fasa penting musim ini dengan 10 perlawanan sebelum hujung tahun, termasuk kunjungan ke Salzburg bagi aksi terakhir Kumpulan E Liga Juara-Juara yang mana juara Eropah itu memerlukan sekurang-kurangnya satu mata untuk layak ke pusingan 16 terakhir.

Fabinho menjadi pemain tonggak yang sesuai dengan cara pasukan Klopp beraksi dan tiada pengganti sebenar buatnya dalam skuad itu.

Disiarkan pada: November 28, 2019 @ 12:35pm
d