arena

Kontinjen negara berdepan ribut Tisoy [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim melaporkan dari Manila

SELEPAS berdepan masalah venue pertandingan masih tidak siap serta logistik, kontinjen 11 negara bertanding di Filipina kini bakal berdepan ribut taufan Tisoy dijangka melanda negara tuan rumah Sukan Sea edisi ke-30 itu.

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, atlet dan pegawai negara membabitkan seramai 773 orang diingatkan bersedia dengan kemungkinan bencana itu melanda Filipina hujung minggu ini.

Menurutnya, isu keselamatan delegasi negara menjadi keutamaan pihaknya bagi memastikan tiada sebarang perkara buruk berlaku ekoran ribut taufan Tisoy itu.

Jelasnya, pihak tuan rumah menerusi pengurusan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Tenggara Filipina (PHISGOC) sudah membentangkan beberapa pelan tindakan sekiranya situasi semakin teruk.

"Kita ada beberapa pelan B yang akan kita gunakan apabila ribut itu melanda nanti.

Kemungkinan beberapa acara sukan yang berlangsung di venue terbuka akan ditangguhkan atas isu keselamatan atlet.

"Namun untuk sukan yang tertutup (dalam dewan) rasanya tidak ada masalah.

Perkara sudah dimaklumkan kepada semua pengurus pasukan dan masing-masing tahu langkah-langkah yang akan diambil nanti," katanya ditemui pada sesi santai bersama media di Manila, hari ini.

Menerusi tinjauan Arena Metro di website pengurusan Pentadbiran Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA) mendapati, ribut taufan itu sedang bergerak laju menuju ke arah barat pada 25 kilometer sejam (km/j) dengan tiupan angin 105km/j.

Taufan difahamkan sedang bergerak menuju ke arah Manila dan dijangka melanda Ahad ini iaitu sehari selepas upacara perasmian Sukan Sea.

Situasi berkenaan membahayakan nyawa dan tidak mustahil banjir kilat boleh melanda bandar utama Filipina itu.

Malaysia mengambil bahagian 52 jenis sukan dan menyasarkan 70 pingat emas.

Selain di Manila, dua bandar lain dipilih sebagai venue beberapa acara sukan iaitu di Clark dan Subic dengan temasya berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember ini.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Disiarkan pada: November 28, 2019 @ 5:38pm
    d