arena

Undian Euro 2020 pening kepala

Oleh AFP

UNDIAN Euro 2020 akan berlangsung di Bucharest malam esok dengan kritikan dan kesukaran terhadap format pertandingan yang buat kali pertama diadakan di 12 bandar raya di 12 negara seluruh benua itu.

Ia kejohanan Euro kali kedua menampilkan 24 pasukan selepas 2016 di Perancis namun mungkin kali pertama dan terakhir dianjurkan di beberapa negara dengan Jerman menjadi tuan rumah pada 2024.

Ia dianggap sebagai satu tindakan berani oleh bekas Presiden UEFA, Michel Platini untuk meraikan ulang tahun ke-60 Kejohanan Eropah yang pertama.

Warga Perancis itu, yang baru saja melengkapkan penggantungan empat tahun daripada bola sepak, memperkenalkan konsep itu dan berkata pada 2012: “Ia mungkin satu idea yang agak pelik tapi ia tetap satu idea yang bagus.”

Jurulatih semua negara yang layak akan hadir pada majlis undian itu yang diadakan di pusat pameran Romexpo di ibu negara Romania, yang akan menjadi hos empat perlawanan pada pusingan akhir.

Jurulatih Belanda, Ronald Koeman akan turut hadir sekalipun baru-baru ini mendakwa beliau tidak akan hadir.

“Saya tidak begitu faham dengan format baharu ini. Saya sudah bertanyakan persekutuan saya sama ada saya perlu menghadiri majlis undian itu,” katanya kepada media Belanda.

Keputusan menambah pasukan pada kejohanan itu daripada 16 kepada 24 bermakna negara kuasa besar mempunyai prospek yang kecil untuk gagal melayakkan diri.

Tidak banyak debaran lagi bagi majlis undian itu dengan negara tuan rumah yang layak bermain sekurang-kurangnya dua aksi di laman sendiri bermakna kebanyakan pasukan sudah tahu kedudukan mereka dalam kumpulan mana.

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 12:02pm
d