arena

Klopp risau ketiadaan Fabinho

Oleh AFP

JUERGEN Klopp sedia berdepan jadual padat dengan kebimbangan mengenai tahap kecergasan Fabinho selepas pemain tengah itu cedera ketika Liverpool seri dengan Napoli pada aksi Liga Juara-Juara.

Pemain Brazil berusia 26 tahun itu muncul antara pemain tonggak pasukan Klopp, yang mendahului selesa lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris.

Fabinho mengalami kecederaan buku lali ketika seri 1-1 dengan Napoli awal pagi semalam, keputusan yang menyebabkan juara bertahan itu memerlukan satu mata daripada aksi terakhir peringkat kumpulan di Salzburg untuk memastikan kemaraan.

Klopp mengintai kemenangan ke atas kelab Itali itu, untuk memastikan sekurang-kurangnya satu daripada perlawanannya dalam tempoh jadual padat ini tidak begitu memeningkan kepalanya.

Namun pengurus Liverpool itu lebih bimbang apabila Fabinho terhincut-hincut pada awal babak perlawanan.

Rakan tengah Georginio Wijnaldum berkata, kecederaan Fabinho, yang diikat dari AS Monaco pada Julai 2018, menjadi satu “tamparan besar” ketika Liverpool terbabit dengan empat pertandingan bulan depan.

“Kami hanya perlu menunjukkan ia tidak menjejaskan kami. Sepanjang tahun kami berdepan beberapa kecederaan dan situasi sukar seperti musim lalu apabila kami tidak mempunyai pertahanan kanan, kami terpaksa menanganinya,” kata Wijnaldum.

Apa pun, Fabinho memang terlepas aksi malam esok menentang Brighton di Anfield kerana penggantungan perlawanan, sesudah meraih lima kad kuning untuk dikenakan hukuman satu perlawanan, namun dengan prospek pemain itu berehat lama, Klopp perlu merencana pelan kedua.

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 3:02pm
d