arena

Hamilton terasa bebanan F1

Oleh Reuters

LEWIS Hamilton menceritakan mengenai bebanan memburu kejayaan dalam Formula Satu dan kesulitan kehidupan peribadi selepas rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas mengumumkan dia bercerai dengan isterinya semalam.

Bottas, 30, terdahulu mengumumkan dalam Twitter perceraiannya dengan isteri Emilia, seorang perenang Olimpik, kerana cabaran yang hadir dalam karier dan kehidupannya.

“Saya fikir ia mungkin sama bagi kebanyakan ahli sukan lelaki dan wanita,” kata Hamilton kepada wartawan pada perlumbaan penamat musim Grand Prix Abu Dhabi.

“Ia mungkin agak berbeza kerana kami banyak berjalan ke negara lain dan anda berada berjauhan jadi ia mungkin satu bebanan yang menyebabkan sukar untuk mengekalkan hubungan yang baik.”

Pemandu Britain berusia 34 tahun itu, yang masih bujang, muncul hanya pemandu kedua F1 memenangi kejuaraan dunia kali keenam bulan lalu.

F1 dilangsungkan di 21 negara dengan kalendar tahun depan mencatat rekod 22 perlumbaan.

Nico Rosberg, bekas rakan sepasukan Hamilton, pernah bercakap mengenai betapa keluarganya menderita ketika dia fokus untuk mengalahkan pemandu Britain itu dalam laluan muncul juara dunia pada 2016.

Hamilton menyedari sesetengah pemandu, seperti Sebastian Vettel dari Ferrari yang menangguhkan kehadirannya ke Abu Dhabi kerana menanti kelahiran anak ketiganya, menemui keseimbangan dalam kehidupan namun dia mengakui ia sukar buatnya.

“Ada juga atlet yang secara umumnya menjalani kehidupan yang bahagia di luar gelanggang,” katanya.

“Tapi bagi saya ia memang sukar, kerana sasaran anda adalah untuk kompetitif sebaik mungkin, sudah tentu anda mahukan komitmen 100 peratus kerana anda tidak mahu kurang berbanding pesaing anda.”

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 3:36pm
d