arena

Liverpool terpaksa lupakan Fabinho

Oleh AFP

PEMAIN tengah Liverpool Fabinho tidak dapat beraksi selama lebih daripada sebulan selepas cedera ligamen buku lali dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Napoli minggu ini, kata kelab itu hari ini.

Pemain Brazil itu yang meletakkan dirinya sebagai pilihan utama buat skuad Juergen Klopp yang mendahului Liga Perdana Inggeris, digantikan selepas 18 minit ketika seri 1-1 di Anfield awal pagi Khamis.

Liverpool mengumumkan bahawa pemain berusia 26 tahun itu tidak akan beraksi dalam 10 perlawanan mulai sekarang hingga akhir Disember.

Kenyataan kelab itu berbunyi: “Liverpool boleh mengesahkan Fabinho mengalami kecederaan ligamen buku lali ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Napoli minggu ini.

“Penilaian lanjutan terhadap kecederaan itu mendedahkan Fabinho tidak akan beraksi sehingga Tahun Baharu.

“Pemain Brazil itu akan menjalan program pemulihan dengan pasukan perubatan Reds di Melwood dalam usaha kembali cergas.”

Bercakap ketika sidang akhbar pra-perlawanan menjelang aksi menentang Brighton malam esok, Klopp turut membincangkan ketiadaan Fabinho.

“Jelas sekali ia berita buruk,” kata beliau.

“Kami belum pasti 100 peratus berapa lama masa akan diambil tetapi sudah pasti dia tidak akan menyertai perlawanan ketika Krismas.”

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 12:01am
d