arena

Mourinho 'gembira' bimbing Spurs

Oleh AFP

PENGENDALI Tottenham Jose Mourinho berkata beliau tidak boleh membayangkan prospek mengurus kelab lain, enggan berkata sama ada beliau pernah berminat mengendalikan Arsenal yang kini tanpa pengurus tetap.

Jurulatih kelahiran Portugal itu dilantik pengurus baharu Spurs minggu lalu susulan pemecatan Mauricio Pochettino dan bermula dengan penuh bergaya, menang dua perlawanan pertama kendaliannya.

Beliau dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal, yang memecat Unai Emery, sebelum tawaran mengendalikan Spurs keluar tetapi memilih untuk tidak mengatakan sama ada beliau berminat untuk tugas itu sekiranya masih tidak bekerja.

“Tidak guna memberitahunya,” katanya mengenai kaitannya dengan Arsenal.

“Ia tidak berlaku sebelum itu. Ia hanya berlaku sekarang.

“Saya terlalu gembira di sini hinggakan saya tidak terfikir mengenai kemungkinan pergi ke tempat lain. Anda tidak boleh meletak mana-mana kelab di depan saya. Saya tidak akan berganjak.”

Mengenai pemecatan Emery, Mourinho berkata: “Ia sentiasa menjadi berita yang menyedihkan. Saya dapat rasakan ketika kecil apabila ayah saya dipecat sebagai jurulatih, saya rasakannya ketika dipecat sebelum ini.

“Tiada seorang pengurus pun yang dipecat menggembirakan saya. Saya sentiasa berasa seperti situasi deja vu. Jadi saya sedih dengannya tetapi itulah kehidupan.”

Spurs mungkin mencatat kemenangan ketiga daripada tiga perlawanan di bawah Mourinho ketika menanti kunjungan Bournemouth malam ini.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 12:58am
d