arena

Kevin letak jawatan CEO MFL

Oleh Syazwan Msar

SELEPAS empat tahun menerajui badan pentadbir Liga Malaysia, akhirnya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa semalam.

MFL menerusi kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat menerusi persetujuan bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah selepas menerima permohonan peletakan jawatan Kevin pada Khamis lalu.

Justeru bagi melancarkan pentadbiran badan pentadbir Liga Malaysia itu, Presiden MFL Datuk Hamidin Mohd Amin melantik Ahli Lembaga Pengarah Datuk Ab Ghani Hassan sebagai pemangku CEO berkuatkuasa pada 1 Disember.

Ab Ghani akan memangku tugas berkenaan sehingga pelantikan CEO baharu dibuat.

Kevin menghantar permohonan untuk melepaskan jawatannya sebagai CEO MFL kerana ingin meneruskan karier baharu dan Ahli Lembaga Pengarah MFL menerima permohonan itu demi kebaikan masa depan beliau.

“MFL turut tidak mahu terlepas peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada Kevin selama beliau bertugas bersama badan pentadbir Liga Malaysia dan mendoakan selamat maju jaya di tempat baharu nanti,” katanya.

Kevin yang pernah menjawat jawatan CEO The Red Warriors Sdn Bhd dipilih menjadi CEO Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (yang kini dikenali MFL) pada April 2015.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 1:09pm
d