arena

Legasi Bohn bakal gegar Sunway

Oleh Iskandar Shah Mohamed

DUA anak legenda boling dunia, Parker Bohn antara jaguh muda profesional yang bakal menggegar pada Kejohanan All-Stars Remaja Antarabangsa Storm di Sunway Mega Lanes di sini, bermula Selasa ini.

Justin, 17, dan adiknya, Brandon, 13, yang juga juara Jelajah Remaja Amerika Syarikat (AS) itu akan menyertai saingan bersama lebih 400 pemain hingga 13 Disember depan. 

Selain Malaysia dan AS, edisi ke-20 itu membabitkan pemain dari 11 negara lain termasuk China, Jepun, Korea, Australia dan Bahrain. 

Pengarah Eksekutif Sunway Mega Lanes, Foong Tak Meng berkata, objektif penganjuran kejohanan itu bukan hanya melahirkan pemain pelapis kebangsaan malah menjadi medan latihan dan kejurulatihan bagi semua pemain termasuk luar negara.

“Saya turut terharu kerana kejohanan yang berusia hampir 20 tahun ini semakin berkembang dengan turut menarik perhatian jaguh terkemuka dunia, Parker Bohn.

"Selain itu, pemain kebangsaan Jepun dan beberapa negara lain memberi sokongan untuk bersama menyertainya sekali gus bakal memberi saingan sengit kepada wakil negara nanti," katanya pada sidang media semalam. 

Dalam pada itu, kata Tak Meng, pihaknya kali ini tidak mempertandingkan kategori Masters berikutan hampir keseluruhan pemain senior kebangsaan menggalas cabaran Malaysia pada Sukan Sea Filipina.

"Justeru, kami berharap ia menjadi medan terbaik kepada pemain muda tempatan untuk menyinar dan menyertai skuad senior pada masa akan datang," katanya.   Kejohanan All-Stars Storm itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM150,000 yang merangkumi empat kategori utama termasuk Terbuka Lelaki dan Wanita selain bawah 15 serta 12 tahun.

Untuk rekod, Parker Bohn, 56, adalah pemenang 35 kali kejuaraan Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) dan juara bertahan Kejohanan Kongres Boling AS.

Pada edisi tahun lalu, pemain muda kebangsaan, Muhammad Azizi Naim, 21, muncul juara kategori bawah 22 tahun selepas menewaskan rakan senegara, Nevern Netaneel 225-222 dalam final stepladder di venue sama.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 1:23pm
d