arena

Inilah yang saya cari : Hamilton

Oleh AFP

LEWIS Hamilton meraih petak pertama selepas empat bulan dengan melakar rekod terpantas di litar Yas Marina ketika Mercedes mendominasi sesi kelayakan menjelang aksi Grand Prix Abu Dhabi esok.

Pelumba berstatus juara itu mencatat masa satu minit 34.779 saat untuk mengatasi rakan sepasukan Valtteri Bottas, yang bermula dari petak belakang kerana penalti kerana menggunakan enjin baharu.

Ia penamat musim kelayakan yang menakjubkan buat Hamilton dengan meningkatkan rekod kariernya kepada 88 petak pertama, lima daripadanya di Abu Dhabi.

Ia adalah petak pertamanya sejak Grand Prix Jerman pada Julai dan kelima tahun ini.

“Ia satu penantian yang lama untuk cuba mendapatkan petak pertama,” kata Hamilton.

“Semalam agak gemuruh jadi saya perlu menilainya dan kembali dengan fokus.”

Menerusi radio pasukan, dia memberitahu kru: “Itulah yang saya cari!”

Max Verstappen di petak ketiga buat Red Bull di depan dua pelumba Ferrari Charles Leclerc dan Sebastian Vettel manakala Alex Albon di petak keenam dengan Red Bull kedua.

Pelumba Belanda itu akan bersama Hamilton di barisan hadapan.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 11:13pm
d