arena

Mourinho puji aksi Alli

Oleh Reuters

IMPIAN Jose Mourinho untuk meneruskan rentak kemenangan terlaksana ketika dua jaringan Dele Alli membantu Spurs menang 3-2 ke atas Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Ia adalah kemenangan ketiga Mourinho dalam saingan liga perdana selepas menggantikan Mauricio Pochettino.

Begitupun, ia tetap berita buruk buat Mourinho, apabila masalah bolos lewat permainan masih berlaku buat minggu kedua.

Alli, yang bergelut dengan prestasi awal musim ini kelihatan kembali meledak gol sejak kehadiran Mourinho.

Dia meletakkan Tottenham di depan pada minit ke-21 hasil cubaan jarak dekat selepas menyambut hantaran Toby Alderweireld yang dilorongkan Son Hueng-min.

Selepas jaringan itu, gol Davinson Sanchez dinafikan oleh VAR, namun Alli sekali lagi melebarkan jaringan buat Tottenham lima minit babak kedua dimulakan.

Namun buat minggu kedua, Tottenham tetap dibolosi gol lewat, sama seperti minggu lalu apabila mendahului 3-0 dan kemudian membenarkan West Ham United bangkit untuk menamatkan saingan dengan 3-2 manakala minggu sebelumnya ketinggalan 2-0 sebelum akhirnya mengatasi Olympiakos 4-2 dalam saingan Liga Juara-Juara.

Itu bermakna Mourinho sudah menyaksikan enam kali dibolosi dalam tiga perlawanan namun dia masih boleh tersenyum apabila Spurs mendaki ke tangga kelima dengan ketinggalan enam mata di belakang Chelsea.

"Saya akui kita bolos empat gol dalam dua perlawanan di gelanggang sendiri tapi saya lebih gemar bercakap mengenai kejayaan kita menyumbat tujuh gol di sini,” kata Mourinho.

Mourinho dalam pada itu memuji Alli yang sedikit sebanyak meningkat ketika dibimbing oleh bekas pengurus dari Argentina itu.

"Bagi saya, Dele bukanlah pemain tengah. Dia perlu diletakkan di posisi yang dia mahu, di belakang Harry Kane," katanya.

"Saya tidak boleh terlalu memberinya tekanan. Dia bermain dengan cemerlang, menjaringkan gol, memberi bantuan, kerja keras, dia memang hebat.”

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 11:07am
d