arena

Skuad Cannavaro juara Liga Super China

Oleh AFP

FABIO Cannavaro membawa Guangzhou Evergrande menjulang gelaran Liga Super China (CSL) untuk kali kelapan, sebulan selepas jurulatih Itali itu dikecam kerana kelemahannya untuk ‘memperbaiki kesilapan’.

Dengan perebutan kejuaraan menuju ke hari terakhir musim ini, Beijing Guoan perlu menewaskan Shandong Luneng di tempat sendiri dan berharap skuad Cannavaro tewas kepada pasukan pelawat Shanghai Shenhua.

Guoan menang 3-2 menerusi jaringan minit ke-91 tetapi Evergrande selesa menang 3-0 ke atas pasukan bergelut, Shenhua.

Ia adalah pencapaian terbesar pertamanya dalam karier kejurulatihan dan kejayaan peribadi buat Cannavaro, 46, yang kelihatan seperti bakal dipecat beberapa minggu lalu.

Evergrande berada di tangga teratas CSL tetapi gagal menyerlah dengan bos kelab meletakkan kapten veteran Zheng Zhi sebagai pengendali sementara dan memberitahu Cannavaro untuk menghadiri latihan budaya korporat.

Bekas pemain pertahanan Juventus dan pemenang Piala Dunia 2006 itu dikekalkan sebagai jurulatih pada awal November tetapi diberi amaran perlu meningkatkan keupayaan semangat melawan pemain secara keseluruhan dalam usaha untuk memenangi Liga Super China.

Evergrande menang dua perlawanan terakhir selepas itu termasuk mengatasi juara bertahan Shanghai SIPG yang meletakkan mereka semakin hampir untuk menjulang gelaran.

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 6:20pm
d