arena

Maguire kecewa benteng longlai

Oleh AFP

HARRY Maguire kecewa dengan kerapuhan benteng pertahanan menyebabkan Manchester United yang di ambang kemenangan kehilangan mata penting kali kedua berturut-turut ketika menentang Aston Villa.

Skuad Ole Gunnar Solskjaer mendahului 2-1 sehingga pertengahan babak kedua di Old Trafford kelmarin sebelum Tyrone Mings menyamakan kedudukan untuk mereka berkongsi mata.

Keputusan 2-2 meninggalkan United di tangga kesembilan dalam carta Liga Perdana dengan 18 mata daripada 14 perlawanan, kempen terburuk mereka pada peringkat sama sejak 1988/89.

United turut melepaskan gol saat akhir ketika seri 3-3 menentang Sheffield United apabila bangkit daripada ketinggalan 2-0 sebelum mendahului 3-2.

"Kami berada dalam situasi terbaik pada babak kedua menentang Villa dan sekali lagi melepaskan gol mudah,” kata Maguire kepada MUTV.

"Sebagai pertahanan sudah tentu saya kecewa,” katanya. “Kami jarang melepaskan peluang atau jaringan dalam dua aksi terakhir dan kemudiannya kami bolos lima gol.”

Jose Mourinho yang kini mengendalikan Tottenham kembali ke Old Trafford kali pertama sejak dipecat tahun lalu sebelum United berkunjung ke venue pasukan jiran, Manchester City hujung minggu ini.

Solskjaer perlu mencari jalan menukar keputusan seri kepada kemenangan selepas hanya menang enam kali daripada 22 perlawanan liga sejak dilantik menjadi pengurus kekal pada Mac lalu.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 10:35pm
d