arena

Messi julang Ballon d'Or keenam

Oleh AFP

LIONEL Messi berharap dapat terus menikmati bola sepak biarpun semakin berusia selepas menerima anugerah Ballon d’Or buat kali keenam pada usia 32 tahun di Paris awal pagi tadi, manakala bintang Piala Dunia dari Amerika Syarikat Megan Rapinoe menjulang gelaran kategori wanita.

Rapinoe tidak berada di Chatelet Theatre di ibu kota Perancis itu, negara di mana dia memimpin pasukan AS meraih kejayaan Julai lalu.

Bagaimanapun Messi hadir bersama isterinya Antonella Roccuzzo, dan dua daripada tiga anaknya.

Ini adalah anugerah Ballon d’Or pertama buat Messi sejak 2015 dan keenam keseluruhan ketika dia kembali mendahului pencabar utamanya Cristiano Ronaldo.

“Sepuluh tahun berlalu sejak saya menang Ballon d’Or pertama di Paris dan saya masih ingat datang ke sini berada tiga adik beradik saya, saya berusia 22 tahun dan tidak terfikir apa yang saya lalui,” kata Messi di pentas selepas menerima anugerah berkenaan daripada pemenang tahun lalu, Luka Modric.

“Saya harap dapat beraksi beberapa tahun lagi untuk terus menikmati aksi bola sepak.

“Saya sedar dengan usia saya dan detik seperti ini lebih dinikmati kerana semakin lama saya semakin hampir dengan persaraan dan ia sesuatu yang sukar.

“Jika semuanya berjalan lancar saya masih mempunyai beberapa tahun lagi tetapi ketika ini masa pantas berlalu dan semuanya berlaku terlalu cepat.

“Saya berharap dapat menikmati aksi bola sepak, keluarga, berdepan lawan dan kehidupan yang saya nikmati.”

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 8:42am
d