arena

Piala FA temukan Liverpool, Everton

Oleh AFP

LIVERPOOL akan menentang pasukan tetangga Everton dalam pusingan ketiga Piala FA manakala pasukan bukan liga, AFC Fylde akan berkunjung ke kelab Liga Perdana Inggeris Sheffield United selepas undian awal pagi tadi.

Skuad Juergen Klopp yang mendahului liga dijangka mempunyai kelebihan di laman sendiri dalam pertembungan kelab Merseyside itu.

Perlawanan dijadualkan berlangsung di antara 3 dan 6 Januari.

Everton yang bertemu Liverpool awal pagi Khamis dalam EPL, tidak pernah menang di Anfield sepanjang tempoh 20 tahun.

Pusingan ketiga adalah peringkat di mana kelab dari Liga Perdana dan Liga Kejuaraan menyertai Piala FA.

Juara bertahan Manchester City akan menentang pasukan divisyen keempat Port Vale, manakala Manchester United akan bertandang ke Wolves, kelab yang menyingkirkan mereka musim lalu pada peringkat suku akhir.

Fylde, dari divisyen kelima akan tampil buat pertama kali dalam pusingan ketiga ke Sheffield manakala satu lagi kelab bukan liga North Boston akan menanti kunjungan Newcastle jika mereka menewaskan Rochdale dalam perlawanan ulangan pusingan kedua.

Arsenal, juara Piala FA 13 kali, berdepan ujian getir menentang pasukan Liga Kejuaraan Leeds.

Leicester di tangga kedua Liga Perdana akan melayan Wigan manakala Chelsea kendalian Frank Lampard akan menanti kunjungan Nottingham Forest ke Stamford Bridge.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 10:04am
d