arena

Kepulangan romantik Ibrahimovic ke Itali

Oleh Agensi

ZLATAN Ibrahimovic bersetuju mengikat kontrak bersama AC Milan biarpun mendapat minat daripada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), menurut laporan.

Bekas penyerang Manchester United itu menarik minat beberapa kelab EPL termasuk Spurs tetapi pemain handalan Sweden itu memilih untuk membuat kepulangan romantik ke Itali.

Selepas beraksi bersama skuad MLS LA Galaxy selama dua musim, pemain berusia 38 tahun itu kini menjadi ejen percuma sejak musim panas lalu.

Perjanjian bersama gergasi San Siro itu sudah dipersetujui secara asasnya sehingga penghujung musim menurut media di Britain, hari ini.

Milan kini menduduki tangga ke-11 Serie A dan berharap Zlatan yang pernah beraksi bersama Rossoneri antara 2010 dan 2012, mampu melonjak mereka ke tangga teratas untuk mencabar musuh ketat, Inter yang berada di tangga teratas.

Pada musim pertama di England, Ibrahimovic menjaringkan 28 gol membantu United memenangi Liga Europa dan Piala Liga.

Kecederaan lutut yang serius menyebabkannya beraksi di Amerika Syarikat dan masih mampu meledak 52 gol daripada 56 perlawanan dalam semua pertandingan bersama Galaxy.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 1:44pm
d