arena

Liverpool bernafsu buru pemain

Oleh Reuters

LIVERPOOL terbuka untuk membawa beberapa pemain ketika jendela perpindahan Januari ini menurut pengurusnya, Juergen Klopp selepas seteru utama Pep Guardiola dari Manchester City menyatakan tidak akan membuat sebarang tandatangan.

Ditanya oleh wartawan sama ada dia terkejut mengenai komen Guardiola itu, pengendali Jerman itu berkata ia adalah satu berita buatnya.

“Saya hanya mendengar perkara ini buat pertama kali. Adakah saya terkejut? Tidak. Tetapi ia tidak begitu penting,” katanya menjelang pertembungan berdepan Everton awal pagi Khamis.

“Kami sememangnya sudah sentiasa bersedia - jika kami boleh melakukan sesuatu untuk membantu kami, kami akan cuba melakukannya. Jika tidak ia tak akan berlaku.”

Pada jendela perpindahan Januari 2018, Klopp menarik perhatian dengan menandatangani pemain pertahanan Belanda, Virgil Van Dijk dari Southampton yang kini tonggak utama benteng pasukan.

Guardiola memaklumkan wartawan dia tidak mahu mana-mana pemain baharu pada Januari namun prestasi dalam saingan Liga Perdana Inggeris mungkin memerlukan perubahan kepada skuad itu pada penghujung musim.

Klopp berkata jendela perpindahan musim panas sangat sukar, kerana ia tutup lebih awal bagi kelab Inggeris berbanding kebanyakan kelab di Eropah.

“Kita lihat bagaimana ia berlaku pada masa depan tetapi jendela perpindahan musim panas memang memberi kesan kepada kelab Inggeris dan tidak membantu mereka. Ia tidak begitu bijak,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 9:06am
d