arena

Balotelli perlu buat pilihan sendiri

Oleh Agensi

PRESIDEN Kelab Brescia, Massimo Cellino berkata Mario Balotelli boleh meninggalkan kelab itu dengan perpindahan percuma kerana dia tidak sesuai bagi kelab yang berdepan penyingkiran dari liga utama Itali itu.

Balotelli, 29, hanya menjaringkan dua gol dan berdepan isu perkauman dalam perlawanan di Hellas Verona dalam saingan Serie A.

“Januari ini, dia boleh pergi dengan percuma. Buat masa ini, dia perlu memilih mana jalan terbaik buat dirinya,” kata Cellino.

Presiden itu turut memecat pengurus Fabio Grosso selepas tiga perlawanan dan melantik semula pengendali sebelumnya Eugenio Corini.

Bekas penyerang Manchester City dan Liverpool, Balotelli tiba pada musim panas dari Marseille namun dia hanya berjaya menjaringkan dua gol dalam lapan penampilan.

Kini Cellino, bekas pemilih Leeds United, dalam satu temubual bersama televisyen Itali berkata dia tidak akan menghalang Balotelli jika dia mahu meninggalkan kelab pada jendela perpindahan nanti.

“Mario sangat kecewa kerana dia tidak dapat beraksi dalam prestasi sebenarnya. Berjuang untuk kekal bersaing dalam Serie A memerlukan pengorbanan yang besar dan mungkin dia ingat perkara itu remeh.” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 12:54pm
d