arena

Liverpool tiada tandingan

Oleh Reuters

LIVERPOOL mempamerkan aksi luar biasa pada separuh masa pertama untuk mengaibkan Everton di Anfield apabila mendahului 4-2 pada separuh masa pertama dan menambah satu lagi pada babak akhir permainan untuk mengekalkan misi memburu gelaran liga pertama dalam tempoh 30 tahun.

Menerusi hantaran sempurna dan penyudah tepat memberikan dua gol buat Divock Origi dan masing-masing satu daripada Xherdan Shaqiri dan Sadio Mane.

Everton bangkit menerusi Michael Keane dan Richarlison sebelum aksi separuh masa kedua yang lebih tenang yang menghadirkan gol Georginio Wijnaldum pada babak akhir perlawanan.

Kemenangan itu, yang ke-100 buat Juergen Klopp dalam Liga Perdana Inggeris, pertembungan kelab Merseyside yang mencatat jaringan terbanyak dalam tempoh 86 tahun, merekodkan 32 perlawanan liga utama tanpa kalah buat Liverpool.

Ia memberikan 43 mata buat juara Eropah itu, lapan mengatasi Leicester City yang menewaskan Watford sebelum itu dan 11 mata mendahului Manchester City.

“Semua gol itu menakjubkan, hebat,” kata Klopp.

“Gol luar biasa, hantaran penuh sensasi, aksi bola sepak yang hebat. Saya amat sukakannya.

“Kami bercakap sebelum ini mengenai lima pertukaran (daripada perlawanan menentang Brighton Sabtu lal). Saya bercakap mengenai kualiti skuad jadi kami perlu tunjukkannya.

“Apa yang mereka lakukan sungguh luar biasa. Jaringan Divock, hantaran Sadio, semua sumbangan Shaqiri, (Adam) Lallana berada di mana-mana. Saya benar-benar bangga dengan mereka.”

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 8:45am
d