arena

Jangan salahkan Kim Swee 100 peratus

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

"MEREKA patut rasa dan terima erti kekalahan di peringkat sekarang (Sukan Sea) supaya tidak menjadi kebiasaan kalah di peringkat senior nanti."

Itu reaksi bekas penyerang kebangsaan yang kini mewakili Petaling Jaya City FC, Safee Sali mengenai kegagalan skuad bola sepak Bawah 22 tahun (B-22) negara di Sukan Sea Filipina.

Menurutnya, pelbagai alasan dikaitkan kegagalan skuad negara termasuk peningkatan prestasi pasukan lain di rantau Asia Tenggara dan tempoh persiapan terhad, namun tanggungjawab mesti diambil bagi memperbaiki kelemahan.

"Pendapat saya pemain diturunkan sudah cuba sehabis baik. Mungkin selepas ini ada 'post mortem' untuk persiapan supaya tidak berlaku lagi kekecewaan ini.

"Memang pelbagai alasan boleh diberikan. Faktanya persiapan skuad negara hanya dua minggu dan sukar bentuk persefahaman jitu antara pemain muda dan senior," katanya. Mengenai pemain berbakat termasuk Hadi Fayyadh Abdul Razak yang beraksi bersama kelab Fagiano Okayama di Jepun dan Luqman Hakim Shamsuddin yang tidak begitu menyerlah seperti disasarkan, Safee berkata, mereka memerlukan masa untuk membentuk kematangan.

Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully berpendapat, ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee tidak sewajarnya dipersalahkan 100 peratus atas kegagalan skuad B-22 mara ke separuh akhir Sukan Sea 2019.

Katanya, banyak faktor perlu dinilai seperti kekangan dalam pemilihan pemain, tempoh latihan terhad serta tekanan beraksi sebagai pasukan pilihan yang perlu dijelaskan kepada peminat bola sepak.

Sementara itu, bekas pengendali Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, perubahan formasi 3-4-3 kepada 3-5-2 dilakukan Kim Swee perlu dihormati kerana setiap jurulatih ada falsafah tersendiri dalam bola sepak.

"Bagi saya perubahan formasi dilakukan beliau tidak perlu dipertikai. Apabila beliau terima tanggungjawab jurulatih, kita kena hormati kerana akhirnya beliau yang akan menjawab atas apa berlaku jika ia berjaya atau gagal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 10:50pm
    d