arena

Valverde ubah nasib Real

Oleh AFP

ZINEDINE Zidane memburu Paul Pogba namun menemui Fede Valverde dalam pencariannya dan kecemerlangan pemain itu sebagai pemain tengah Real Madrid mungkin menjadi titik kebangkitan mereka musim ini.

Dibawa masuk dengan bayaran enam juta euro (RM27.7 juta), harga Valverde mungkin kurang 200 juta (RM925.9 juta) berbanding yang perlu dibayar Madrid untuk Pogba musim panas lalu.

Selain menyelamatkan poket kelab, dia mungkin menyelamatkan jurulatih itu.

Zidane yang kelihatan buntu pada September, semakin gah tiga bulan kemudian.

Madrid kini berkongsi mata dengan Barcelona di puncak La Liga dan layak menyertai kelompok 16 pasukan Liga Juara-Juara.

Mereka berdepan Espanyol di laman sendiri malam esok, menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Club Brugge, perlawanan yang menurut Valverde sebelum ini sebagai peluang yang jarang terhidang untuknya.

Sebaliknya pemain berusia 21 tahun itu kini menjadi pemain penting pada era kedua Zidane, di antara Karim Benzema di bahagian penyerang dan Sergio Ramos di pertahanan, barisan tengah mendapat kekuatan baharu.

Sejak bertahun lamanya gandingan Luka Modric dan Toni Kroos membantu Casemiro yang lebih gemar bertahan tetapi aksi mereka menyebabkan Madrid kurang bermaya dan bermotivasi.

Valverde memecahkan gandingan itu dan menambah apa yang kurang. Kecergasannya dan kemampuannya membuat larian jauh membolehkan mereka kembali mendominasi perlawanan.

“Dia menakjubkan,” kata Kroos bulan lalu.

“Saya benar-benar sukakan pemain ini. Bukan mudah untuk datang ke sini dan bermain seperti itu pada usia sepertinya bermakna dia mempunyai banyak kualiti. Saya pasti dia mempunyai masa depan yang cerah.”

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 10:57am
d