arena

Benteng Roma kecewakan Inter

Oleh AFP

INTER Milan terikat tanpa jaringan dengan Roma di San Siro awal pagi tadi, membuka ruang buat juara bertahan Itali Juventus merampas tangga teratas Serie A pada hujung minggu ini.

Skuad Antonio Conte mempunyai kelebihan dua mata ke atas Juventus yang menetang Lazio di Stadio Olimpico awal pagi esok.

Perlawanan di San Siro itu dibayangi isu perkauman selepas akhbar sukan Itali Corriere dello Sport memaparkan tajuk kontroversi ‘Black Friday’ di muka depannya.

Tajuk berita muka depan itu disertai artikel mengenai pertemuan Serie A membabitkan bekas rakan sepasukan Manchester United Romelu Lukaku dan Chris Smalling.

Di atas padang, pertahanan Smalling dan Gianluca Mancini berjaya menyekat jaringan penyerang prolifik Inter Lukaku dan Lautaro Martinez, yang mengumpul 18 jaringan dalam 15 perlawanan musim ini.

Skuad Conte terbukti tidak bertaring dalam serangan ke atas Roma yang lebih tersusun, gagal membolosi gawang buat kali pertama musim ini, beberapa hari sebelum aksi Liga Juara-Juara menentang Barcelona.

“Pujian buat Roma kerana berjaya menyekat Lautaro-Lukaku," kata jurulatih Paulo Fonseca.

“Peluang utama Inter hadir daripada kesilapan kami, namun kami sentiasa bermain dengan berani dan itu yang saya mahukan daripada pasukan.

“Kami berjaya bertahan dengan baik. Smalling dan Mancini menikmati permainan seperti mana seluruh pasukan, jelas sekali bukan mudah menentang Inter.”

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 9:23am
d