arena

Penalti jejas aksi Reed

Oleh Reuters

PATRICK Reed dikenakan penalti dua pukulan kerana melangggar peraturan ketika pusingan ketiga Cabaran Dunia Hero di Bahamas hari ini dalam insiden yang menyebabkan dua bekas pemain tidak percaya dengan tindakan bekas juara Masters itu.

Reed dikenakan hukuman itu selepas dua kali mengalih pasir ketika melakukan latihan pukulan di kawasan berpasir di lubang ke-11 Kelab Golf Albany.

Juara Masters 2018 itu didapati cuba memperbaiki pukulannya dengan ‘mengalih atau menekan pasir atau tanah lembut’ yang melanggar peraturan 8.1a.

Pendahulu dua pusingan itu dikenakan penalti selepas mencatat 74 pukulan dan kini tiga pukulan di belakang pendahulu selepas 54 lubang yang juga rakan senegara Gary Woodland.

Reed berkata dia tidak bermaksud untuk mendapat sebarang kelebihan tetapi pegawai pertandingan berkata tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan.

“Selepas melihat pemukul itu menghayun ke belakang dan terkena pasir, mereka (pegawai Jelajah PGA) menyangka ia melanggar peraturan,” kata Reed.

“Selepas melihat video itu, saya menerima penalti dua pukulan. Saya menerimanya.”

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 10:07am
d