arena

United masih unggul: Solskjaer

Oleh AFP

MANCHESTER City mungkin menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris berturut-turut dan ketika ini 11 mata di depan Manchester United tetapi Ole Gunnar Solskjaer menegaskan pasukannya masih hebat berbanding jiran mereka.

Biarpun tidak menjulang sebarang kejuaraan sejak 2013, pengendali Old Trafford itu menegaskan pasukannya adalah yang terhebat dan akan kembali ke puncak satu ketika nanti.

“Sebagai sebuah kelab, dengan saiz yang dimiliki, kami akan merapatkan jurang dan matlamat kami adalah memintas pasukan di atas kami dan saya percaya di Man United, itulah yang kami sasarkan, itulah yang perlu direbut dan itulah yang perlu kami yakini,” kata Solskjaer yang akan menentang City dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi esok.

“Kami mempunyai sumber dan pemain untuk melaksanakannya, mengapa tidak?”

Solskjaer turut menyindir pergelutan City sebelum ini dan mengimbau penantian lima tahun sebelum bertemu dalam pertembungan kelab Manchester.

Pengendali kelahiran Norway itu menyertai United pada 1996, selepas City tersingkir ke divisyen kedua dan kemudiannya bertemu mereka pada 2001 dengan keputusan seri 1-1.

“Sekurang-kurangnya kami bertemu setiap tahun sekali sekarang,” katanya.

“Mengambil masa yang lama untuk pertembungan Manchester, ia berubah sekarang.”

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 11:21am
d