arena

Chelsea dah boleh beli pemain

Oleh Reuters

PENCABAR Liga Juara-Juara Chelsea kini dibenarkan membawa masuk pemain pada jendela perpindahan Januari selepas Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) hari ini memotong separuh penggantungan perpindahan yang dikenakan kepada kelab Liga Perdana itu Februari lalu.

CAS dalam kenyataannya berkata pihaknya juga memotong separuh denda Chelsea kepada 300,000 Swiss francs (RM1.25 juta).

Kelab London barat itu yang juga juara Liga Europa, dikenakan penggantungan selama dua jendela perpindahan oleh badan induk bola sepak dunia FIFA kerana melanggar peraturan mengenai perpindahan antarabangsa dan pendaftaran pemain di bawah 18 tahun.

Chelsea menempuhi penggantungan satu jendela perpindahan pada musim rehat liga.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Chelsea selepas itu, kelab berkenaan mengucapkan terima kasih kepada CAS ‘atas pendekatan bersungguh-sungguh mereka terhadap perkara itu’.

Mereka bagaimanapun mengkritik cara FIFA mengendalikan kes itu, mendakwa mereka dilayan tidak sama seperti pencabar Liga Perdana Inggeris Manchester City ‘atas sebab yang tidak masuk akal kepada Chelsea’.

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 11:46am
d