arena

Caroline bersara selepas Terbuka Australia

Oleh AFP

BEKAS pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki mengumumkan dia akan bersara selepas Terbuka Australia bulan depan, menegaskan dia “sudah meraih segala-galanya” dimahukan di gelanggang tenis.

Pemain Denmark berusia 29 tahun itu menang satu-satunya gelaran perseorangan Grand Slam di Melbourne tahun lalu pada aksi final ketiganya pada kejohanan utama.

“Saya sudah meraih setiap apa yang boleh saya impikan di gelanggang,” katanya dalam satu pos Instagram.

“Saya sering kali memberitahu diri sendiri, apabila tiba masanya, ada perkara lain di luar tenis yang saya mahu lakukan, maka inilah masanya untuk melakukannya.”

Caroline, yang menjadi pemain profesional pada usia 15 tahun pada 2005, menghabiskan 71 minggu di puncak ranking WTA selepas kali pertama muncul pemain terbaik dunia pada Oktober 2010.

Dia sudah memenangi 30 kejuaraan WTA dalam kariernya termasuk Jelajah Akhir 2017 di Singapura.

Caroline, yang menamatkan di kedudukan buat musim ke 11 berturut-turut dalam kelompok 20 pemain teras dunia, kini berada di ranking ke 37 selepas bergelut dengan kecederaan dan prestasi buruk pada 2019 dengan hanya sekali mara ke final.

Katanya, dia mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan suami yang juga bekas juara NBA, David Lee.

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 6:02pm
d