arena

Shahrom, Shahurain tonggak baru NS

Oleh Mohd Amin Jalil

PEMAIN berpengalaman, Shahrom Kalam dan Shahurain Abu Samah antara tenaga baharu yang memperkuatkan pasukan Negeri Sembilan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Shahrom, 34, adalah bekas pemain PKNS FC manakala Shahurain, 32, bekas pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM), masing-masing sudah menandatangani kontrak setahun dengan skuad Hobin Jang Hobin, baru-baru ini.

Shahrom berkata, selepas PKNS FC bertukar menjadi pasukan simpanan atau `feeder club', dia memilih Negeri Sembilan untuk meneruskan kerjaya bola sepak profesionalnya atas beberapa faktor.

"Antara faktor itu termasuklah visi dan misi yang jelas ditetapkan pengurusan pasukan itu untuk melayakkan diri ke saingan Liga Super musim 2021.

"Pelawaan pengurus Negeri Sembilan, Mohd Khairollah Abd Latif, mendorong saya memilih pasukan ini untuk meneruskan kerjaya dan berharap saya dapat membantu memantapkan kekuatan serta membimbing pemain muda dalam pasukan ini.

"Saya ingin memberikan sumbangan terbaik kepada Negeri Sembilan berdasarkan pengalaman lalu ketika membantu FELCRA FC mara ke saingan Liga Super selepas muncul naib juara Liga Perdana musim 2018," katanya di Seremban, hari ini.

Shahurain yang mempunyai rekod cemerlang bersama skuad Rusa termasuk membantu menjuarai Piala Malaysia dua kali pada 2009 dan 2011, mahu mengulangi kejayaannya itu.

"Saya mahu membantu Negeri Sembilan kembali dalam kelompok pasukan terbaik liga tempatan seperti yang pernah mereka capai sebelum ini," kata pemain kelahiran Kajang, Selangor itu.

Disiarkan pada: December 8, 2019 @ 2:10pm
d