arena

Wolves bangkit ikat Brighton

Oleh Reuters

WOLVERHAMPTON Wanderers terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Perdana kepada 11 perlawanan selepas bangkit mengikat keputusan seri 2-2 di Brighton & Hove Albion, awal pagi tadi.

Diogo Jota meletakkan Wolves di hadapan dalam aksi sengit babak pertama tetapi tidak bertahan lama apabila Neal Maupay dan Davy Propper menembusi gawang pelawat.

Keputusan itu membolehkan Wolves menduduki tangga keenam dengan 24 mata daripada 16 perlawanan di belakang Manchester United berdasarkan perbezaan gol dan satu mata di hadapan Tottenham Hotspur yang berada di tangga ketujuh.

Jota menggegarkan jaring tuan rumah pada minit ke-28 selepas mendapat hantaran cantik Raul Jimenez tetapi penyudah tumpul jarak dekat dua minit kemudian merugikan Wolves apabila Brighton bangkit dengan menjaringkan dua gol pantas.

Maupay menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang dari jarak 18 meter pada minit ke-34 selepas mendapat hantaran jauh Dale Stephens dan Propper meletakkan tuan rumah di hadapan hasil tandukan cantik dari jarak 11 meter pada minit ke-36.

Jota menebus kegopohannya sebelum itu dengan menyamakan kedudukan menerusi gol kedua hasil rembatan dalam kotak penalti seminit sebelum rehat.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 7:14am
d