arena

Marseille terus hambat PSG

Oleh AFP

MARSEILLE memastikan mereka tidak ketinggalan jauh di belakang pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain apabila bangkit menewaskan Bordeaux 3-1 sekali gus kemenangan keenam berturut-turut dan lima mata di belakang juara bertahan.

Jordan Amavi, Morgan Sanson dan Nemanja Radonjic menjaringkan gol penting di hadapan 52,000 penonton ketika skuad Andre Villas-Boas mengekalkan momentum yang membolehkan mereka melonjak ke tangga kedua dalam liga tertinggi Perancis itu.

"Ketika rehat jurulatih beritahu kami melakukan lebih lagi, pastikan Velodrome di belakang kami,” kata Sanson yang jaringannya pada minit ke-60 meletakkan Marseille di hadapan selepas mereka ketinggalan menerusi rembatan Yacine Adli pada babak pertama.

"Pada babak kedua, jelas kami lebih baik. Terima kasih kepada penyokong kerana kami telah bangun.”

Ketika cabaran kepada PSG dalam aksi domestik tampak sukar, misi kembali ke saingan Liga Juara-Juara lebih cerah susulan prestasi cemerlang skuad diketuai Dimitri Payet.

Dalam saingan tiga pasukan yang memburu slot Eropah, Marseille kini tujuh mata di hadapan pasukan di tangga keempat Rennes dan mereka jelas kekal fokus walaupun dikejutkan dengan jaringan pembukaan Adli pada minit ke-31 buat Bordeaux.

Pelawat tangkas bertahan sepanjang babak pertama dan Adli mengejutkan Bordeaux menerusi rembatan kencang jarak jauh yang gagal dijangkau penjaga gol Steve Mandanda.

Tuan rumah tidak mengalah dan Peyet membantu gol penyamaan menerusi sepakan sudutnya yang ditanduk masuk Amavi dua minit selepas rehat.

Pablo kemudian membuat hantaran terus kepada Sanson yang melakukan rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol Benoit Costil.

Radonjic melengkapkan kemenangan Marseille menerusi gol ketiga pada masa tambahan.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 9:57am
d