arena

Sharbinee, Daniel kawal gawang Tok Gajah

Oleh Asrol Awang

BEKAS penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee Ramlisah menjadi milik skuad Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sharbinee yang juga bekas penjaga gol Kuala Lumpur, Selangor dan Terengganu itu diharap mampu menggalas cabaran skuad Tok Gajah musim 2020.

Kehadiran Sharbinee dinantikan kerana pengalaman luas yang dimiliki pemain kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu terutama bersama skuad kebangsaan.

Pada masa sama, bekas penjaga gol UKM FC, Daniel Wafiuddin turut dipilih untuk mengisi kuota posisi berkenaan.

Menurut sumber, dua penjaga berkenaan menyertai Pahang selepas skuad itu tidak menyambung khidmat Remezey Che Ros dan Wafieyuddin Shamsudin.

"Kami juga masih mengekalkan Helmi Eliza Elias yang bermain cemerlang sepanjang musim ini.

"Oleh itu, Sharbinee dan Daniel diharap dapat membantu skuad Tok Gajah dan perlu bekerja keras untuk dipilih sebagai penjaga gol utama musim depan.

"Mereka sudah menandatangani kontrak bersama Pahang bulan lalu," katanya.

Musim ini, Helmi Eliza menjadi pilihan utama pada setiap perlawanan selaku penjaga gol utama berbanding Remezey dan Wafieyuddin.

Namun, kehadiran Sharbinee dan Daniel dijangka menggugat kedudukan Helmi Eliza untuk muncul selaku penjaga gol utama.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 1:46pm
d