arena

Klopp tak ragui kualiti Keita

Oleh AFP

BOS Liverpool, Juergen Klopp menyatakan beliau tidak pernah meragui kualiti pemain tengah Naby Keita sekalipun pemain kebangsaan Guinea itu tidak banyak mencetus impak sejak tiba di Anfield tahun lalu.

Keita tidak banyak memainkan peranan sejak berpindah dari RB Leipzig pada Julai 2018 dan sebelum Sabtu lalu dia hanya bermain 14 minit dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Namun pemain berusia 24 tahun itu, yang mana kariernya di Anfield kerap dibelenggu kecederaan, mengingatkan semua mengenai keupayaannya dengan satu gol dan satu hantaran gol dalam aksi kesebelasan utama pertama kempen kali ini ketika menang 3-0 di Bournemouth, Sabtu lalu.

“Naby berdepan kecederaan, pasukan ini berada dalam keadaan yang amat bagus, jadi perlukah anda mengubah?” kata Klopp.

“Kami bukannya menang semua perlawanan 4-0 atau 5-0, jadi kami perlu membawa masuk pemain yang membantu kami mempertahankan situasi set-piece.

“Kemudian Naby duduk di luar berfikir, ‘kenapa saya tidak bermain?’ Saya memahaminya. Jadi kami terus berhubung, kami bercakap dan banyak berbincang mengenainya.”

Klopp berkata, beliau tidak pernah mempersoalkan kualiti pemain itu.

“Ia hanya tidak bernasib baik dan dalam kehidupan anda perlu selalu mempunyai tuah,” katanya. “Dia memulakan (karier Liverpool) dengan amat bagus – setiap orang lupa – kemudian dia cedera. Kemudian kami mempunyai dua musim yang amat bagus.”

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 11:55pm
d