arena

Peluang PSG bedal kelab kerdil

Oleh AFP

JUARA Ligue 1, Paris Saint-Germain akan memulakan kempen Piala Perancis dengan menentang kelab divisyen enam, Linas-Montlhery selepas undian 64 pasukan terakhir, awal pagi tadi.

Kelab amatur itu yang hanya terletak 26km dari Paris berpeluang menguji kemampuan mereka berdepan barisan bintang PSG termasuk pemain termahal dunia Neymar pada 5-6 Januari depan.

Linas-Montlhery yang mendahului kumpulan dalam Regional 1 mempunyai 289 pasukan antara mereka dan pendahulu liga utama, PSG dalam sistem liga Perancis.

Skuad kendalian Thomas Tuchel, PSG mahu merampas kembali piala itu selepas tewas kepada Rennes menerusi penentuan penalti musim lalu sekali gus menamatkan empat kemenangan berturut-turut.

Linas-Montlhery pula mengharungi tujuh pusingan termasuk kemenangan percuma di pusingan kelima.

Presiden kelab, Mickael Bertansetti berkata kepada Le Parisien selepas kemenangan 3-1 Linas-Montlhery pada pusingan kelapan mengatasi pasukan divisyen lima, Evreux kelmarin bahawa tiga per empat pemain di bilik persalinan “menyokong PSG.”

Jurulatih mereka, Stephane Cabrelli, 52, berkata dia adalah pemegang tiket musim PSG sejak kanak-kanak dan menyifatkan dirinya adalah peminat fanatik PSG.

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 8:01am
d