arena

Barca mampu sengat Inter tanpa Messi

Oleh AFP

TANPA Lionel Messi Barcelona tetap mampu menghampakan Inter Milan yang memburu tempat ke saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, kata jurulatih, Ernesto Valverde, awal pagi tadi.

Barcelona telah pun layak ke peringkat kalah mati sebagai juara Kumpulan F selepas Messi menjadi nadi kemenangan 3-1 ke atas Borussia Dortmund dan Inter tahu hanya kemenangan ke atas pendahulu La Liga itu di San Siro awal pagi esok menjamin tempat mereka ke pusingan seterusnya.

Pemenang enam kali Ballon d'Or, Messi mencipta satu lagi rekod dengan meledak hatrik ke-35 ketika membelasah Mallorca 5-2 Sabtu lalu untuk terus kekal di puncak liga.

"Messi perlukan rehat,” kata Valverde kepada wartawan. “Kami mengharungi jadual padat dan ada lagi aksi penting jadi kami tidak bawa dia bersama.

"Dia tonggak penting tetapi misi kami esok tidak berubah, mahu menang ke atas Inter.

"Kami tahu impak Messi ke atas lawan tetapi tahun lalu dia tidak beraksi dalam kedua-dua perlawanan menentang Inter namun kami tetap mampu beraksi pada tahap terbaik.

“Kami telah pun mara tetapi kami akan pastikan aksi terbaik.”

Messi dan pemain tengah, Sergi Roberto tersisih daripada skuad 20 pemain Barcelona selain Ousmane Dembele, Jordi Alba, Nelson Semedo dan Gerard Pique yang mengalami kecederaan.

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 10:47am
d