arena

Wajar pingat emas bersama : Nazmizan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

JAGUH 110 meter (m) berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian wajar diberikan pingat emas bersama peserta tuan rumah, Clinton Kingsley Bautista.

Ia disebabkan mereka mencatatkan masa sama, 13.97 saat di garisan penamat pada final acara itu di Sukan Sea Filipina, semalam.

Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berkata, ia antara penyelesaian terbaik bagi mengelak kontroversi berpanjangan mengenai kekalahan atlet negara.

"Malaysia membantah dan berpendirian Rayzam Shah adalah juara manakala tuan rumah mempertahankan atlet mereka.

"Jika dibiar berpanjangan, isu ini tidak membawa keharmonian dalam malah akan merosakkan imej sukan olahraga di peringkat Asia Tenggara.

"Sebagai penyelesaian 'menang-menang' pendapat saya wajar kedua-dua atlet diberi pingat emas bersama," katanya dihubungi.

Nazmizan, Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengulas kontroversi kekalahan Rayzam Shah mempertahankan pingat emas acara itu dimenangi pada Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil dipetik berkata, pingat emas Rayzam Shah 'dirompak' apabila kemenangan diberikan kepada peserta tuan rumah, Clinton berdasarkan 'photo finish' biarpun mereka melintasi garisan penamat dengan catatan masa sama iaitu 13.97 saat.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 4:24pm
    d