arena

Aksi Lyon - Leipzig kecoh

Oleh AFP

PENYOKONG dan pemain Lyon dilihat berbalah sejurus wisel penamat dibunyikan selepas kapten, Memphis Depay menjaringkan gol penyamaan buat kelab Perancis itu mara dalam kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara ketika seri 2-2 berdepan RB Leipzig, pagi ini.

Emil Forsberg dan Timo Werner kedua-duanya menyempurnakan gol menerusi penalti buat pasukan Jerman itu sebelum Houssem Aouar dan Depay menjaringkan gol buat Lyon di separuh masa kedua, yang melangkah ke pusingan kalah mati selepas kekalahan 3-0 Zenit kepada Benfica dalam saingan Kumpulan G.

Pada akhir perlawanan, beberapa peminat tuan rumah dilihat bergaduh di padang selepas salah seorang penyokong dengan berani membawa sepanduk menyuruh Marcelo meninggalkan kelab itu.

Depay mendekati individu itu dan cuba merampas sepanduk manakala peminat lain kelihatan berlari ke bawah tempat duduk penyokong sementara rakan pasukan penyerang Belanda itu termasuk Anthony Lopes mengelilinginya.

Pemain pertahanan Brazil, Marcelo mempunyai hubungan tegang dengan penyokong Lyon selepas perbalahan di lapangan terbang Lisbon susulan kekalahan kepada Benfica pada Oktober lalu.

“Saya tidak mahu berkata apa-apa. Sesuatu berlaku. Ini adalah apa yang perlu kami selesaikan secara dalaman,” kata penjaga gol Lopes kepada RMC Sport.

“Ia akan kekal dalam kalangan kami. Kami akan lihat apa yang berlaku, kami akan cuba dan mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 12:06pm
d