arena

Diallo perkuat jentera pertahanan Terengganu

Oleh Malik Muhamad

TERENGGANU FC (TFC) menamatkan pencarian kuota pemain import kelima apabila mengikat 'kereta kebal' kelahiran Senegal, Babacar Diallo.

Pemain dengan ketinggian 1.93 meter yang juga bekas pertahanan tengah kelab Kuopion Palloseura dalam Liga Finland itu diikat selama setahun oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini.

Menerusi kenyataan media TFC hari ini, pemain yang pernah berkelana di Austria bersama kelab St Polten musim lalu itu menjadi pilihan barisan jurulatih TFC yang diketuai Nafuzi Zain dan pembantunya, Subri Sulong.

Sementara itu, Nafuzi berharap kehadiran pemain tinggi lampai itu dijangka mampu membantu pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

“Tumpuan kini adalah untuk membina keserasian antara pemain dalam membentuk pasukan.

"Diallo akan mengemudi barisan pertahanan dan kehadiran beliau diperlukan bagi memantapkan posisi dalam menghadapi musim Liga M akan datang.” katanya.

TFC mengekalkan arkitek berdarah campuran England-Malaysia, Lee Tuck dan pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakmedov.

Selain kehadiran pemain baharu termasuk bekas penyerang kelab Sai Gon dalam Liga Vietnam, Dominique Da Sylva serta pemain sayap kelahiran Singapura, Faris Ramli.

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 1:38pm
d