arena

Gerrard dijangka lanjut kontrak bersama Rangers

Oleh Reuters

PENGURUS Rangers, Steven Gerrard semakin hampir untuk menandatangani perjanjian baharu bersama kelab Liga Perdana Scotland ketika dia meletakkan sasaran mengembalikan semula kegemilangan di Ibrox.

Gerrard yang menghabiskan 17 musim di Liverpool sebagai pemain dan mengetuai kelab Anfield kepada kejuaraan Liga Juara-Juara pada 2005, mengambil alih tugas di Rangers pada 2018 apabila dia menandatangani kontrak selama empat tahun.

Mereka menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Celtic dalam liga musim lalu di bawah kendalian bekas perancang tengah England dan kini di kedudukan kedua, dua mata di belakang seteru tradisi itu selepas 15 perlawanan.

“Kelab sudah membuat tawaran kepada saya hampir seminggu lalu, 10 hari lalu mengenai kontrak baru dan ia adalah keputusan yang jelas setahu saya,” kata Gerrard kepada wartawan menjelang perlawanan penting Kumpulan G, Liga Europa di gelanggang sendiri berdepan Young Boys awal pagi esok.

Rangers memerlukan mata menentang wakil Swiss itu untuk mara ke peringkat 32 terakhir pusingan kalah mati.

“Saya gembira di sini dan seperti saya dahagakan dan mahu mengembalikan hari-hari yang baik semula di sini seperti yang saya katakan sebelum ini dengan terus terang dan positif. Apabila ia petanda dan pengumuman kamu hanya perlu tunggu dan lihat.”

Rangers juara Scotland 54 kali, kali terakhir memenangi liga pada 2010-11 sebelum jatuh dari saingan liga utama pada 2012 berikutan masalah pengurusan.

Mereka mempunyai peluang untuk menjulang trofi pertama di bawah kendalian Gerrard pada Ahad tetapi tewas 0-1 kepada Celtic dalam saingan final Piala Liga Scotland.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 11:04am
d