arena

Addeen bawa tonik mujarab ke Washington

Oleh Iskandar Shah Mohamed

KEJAYAAN meraih dua pingat emas Sukan Sea Filipina menjadi tonik berharga buat Addeen Idrakie Bahtiar untuk terus mempamerkan aksi cemerlang pada Kejohanan Skuasy Lelaki Berpasukan Dunia di Amerika Syarikat, Ahad ini.  

Pemain berusia 25 tahun itu akan menyertai tiga rakan senegara iaitu Ng Eain Yow, Ivan Yuen dan Mohd Syafiq Kamal yang sudah berada di Washington.  

"Kegembiraan membawa pulang dua emas masih dirasai dan saya yakin turut dapat membantu skuad senior mencapai sasaran berada dalam kelompok lapan terbaik kejohanan dunia itu.   "Tekanan sememangnya ada namun saya akan manfaatkan pengalaman beraksi di Manila sebagai senjata untuk mengekalkan momentum kecemerlangan," katanya kepada Arena Metro.  Skuad kebangsaan dijadualkan menentang Korea pada aksi pembuka tirai kejohanan yang disertai 23 negara itu. 

Dalam pada itu, Addeen bersyukur segala usaha kerasnya menjalani latihan membuahkan hasil selain berbekalkan doa kepada Allah dan kepercayaan jurulatih.  

"Emas paling bermakna adalah bagi acara individu kerana ia kali pertama saya meraihnya sepanjang karier dalam skuasy," kata atlet kelahiran Selangor itu.  

Pada Sukan Sea Filipina kali ini, kem skuasy negara meneruskan tradisi dan dominasi di temasya dwitahunan itu apabila menyapu bersih empat pingat emas dipertandingkan.  

Rachel Arnold memulakan aksi cemerlang di Kelab Polo Manila itu apabila memenangi acara perseorangan wanita dengan menewaskan rakan senegara, Chan Yiwen. 

Penguasaan negara diteruskan Addeen yang mengungguli perseorangan lelaki selepas menumbangkan pemain tuan rumah Filipina, Robert Garcia. 

Kegemilangan itu disudahi dengan kemenangan dalam acara berpasukan lelaki dan wanita yang masing-masing menewaskan Indonesia dan Singapura.

Disiarkan pada: December 13, 2019 @ 11:09am
d