arena

Bayern tak boleh hilang mata lagi

Oleh AFP

PEMAIN tengah Bayern Munich, Joshua Kimmich menegaskan penyandang juara itu tidak lagi mampu kehilangan mata dalam misi mempertahankan kejuaraan Bundesliga musim ini.

Kekalahan berturut-turut di tempat sendiri kepada Leverkusen dan pendahulu, Borussia Moenchengladbach, Sabtu lalu menyaksikan Bayern ketika ini menduduki tangga ketujuh liga.

“Kami tidak boleh lagi membazirkan mata,” kata Kimmich selepas Bayern menang aksi pertama daripada tiga perlawanan terakhir ketika menewaskan Tottenham, awal pagi semalam dalam saingan Liga Juara-Juara.

Menjelang aksi menentang Werder Bremen di tempat sendiri esok Bayern ketika ini ketinggalan tujuh mata di belakang Gladbach.

Begitupun, dalam tempoh sama musim lalu, mereka ketinggalan sembilan mata di belakang Dortmund tetapi akhirnya menjulang kejuaraan ketujuh Bundesliga berturut-turut pada Mei.

Selepas beberapa siri kekalahan di pentas domestik, pengendali sementara Hansi Flick berkata kemenangan ke atas skuad kendalian Jose Mourinho sebagai ‘petanda yang mereka boleh mengubah peluang kepada kemenangan.’

Lawan bakal ditentang, Bremen ketika ini bergelut dan menghuni tangga ke-14 liga selepas hanya mengutip 14 mata pada musim ini dengan kali terakhir menang di Allianz Arena pada September 2008.

Tetapi ketua jurulatihnya, Florian Kohfeldt, 37, berkata, Bremen bertekad mencuri mata bagi mengelak zon penyingkiran dengan kemenangan di Munich jelas akan membangkitkan semangat pemain.

Disiarkan pada: December 13, 2019 @ 11:28am
d