arena

Klopp setuju kontrak hingga 2024

Oleh AFP

JUERGEN Klopp bersetuju menyambung kontrak bersama Liverpool hingga 2024, umum pendahulu Liga Perdana Inggeris itu hari ini.

Klopp, yang berpindah ke Anfield pada 2015, mengemudi kejayaan Liverpool memenangi Liga Juara-Juara Jun lalu dan mereka kini lapan mata di puncak Liga Perdana.

“Bagi saya secara peribadi, ini satu pengiktirafan susulan kejayaan yang kami capai setakat ini dan apa yang boleh diraih selepas ini,” kata Klopp, 52, kepada laman web rasmi Liverpool.

“Apabila saya melihat perkembangan kelab dan kerjasama yang berterusan, saya berasakan sumbangan saya boleh bertambah.”

Kenyataan pemilik Fenway Sports Group (FSG) menyebut Liverpool mengambil langkah besar dalam mengukuhkan mereka sebagai kuasa besar bola sepak dunia di bawah pengendali dari Jerman itu.

Ketika kempen pertama Klopp di Anfield, Liverpool layak ke final Piala Liga Inggeris dan Liga Europa namun berakhir tanpa sebarang trofi.

Mereka tewas 1-3 di tangan Real Madrid pada final Liga Juara-Juara 2018 namun bangkit untuk muncul juara Eropah kali keenam selepas mengatasi Tottenham 2-0 di Madrid tahun ini.

Liverpool hanya kalah satu perlawanan Liga Perdana musim lalu, mengumpul 97 mata – terbaik dalam sejarah kelab itu – namun gagal meraih kejuaraan apabila kalah satu mata di belakang Manchester City.

Disiarkan pada: December 13, 2019 @ 10:50pm
d